MARANG: Pelaksanaan program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) iaitu padanan bekas banduan di tempat kerja sebaik keluar dari penjara telah berjaya menurunkan kadar kesalahan berulang.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah Jabatan Penjara Malaysia itu menunjukkan hanya seorang daripada setiap 800 bekas banduan kembali dihumban ke penjara.
Beliau berkata, ketika ini banduan yang menjalani hukuman pemenjaraan bawah tiga tahun boleh dibebaskan lebih awal melalui tiga proses iaitu parol, perintah kehadiran wajib dan PBSL.
“Setelah pelepasan awal dan ditempatkan di tempat kerja, prospek (bekas banduan) tidak lagi terjebak dengan isu pengangguran dan kesesakan di penjara juga boleh dikurangkan selain menjimatkan belanja kerajaan.
“Hasil inisiatif ini, daripada setiap 800 bekas banduan yang dibebaskan lebih awal hanya seorang terlibat jenayah dan berakhir semula di penjara berbanding 13 peratus sebelum ini,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian pada Program PBSL Ihsan Madani membabitkan 120 prospek di Penjara Marang di sini, hari ini.
Menurut beliau, penurunan kadar banduan berulang boleh membantu mengurangkan isu kesesakan di penjara serta mengurangkan kos dan perbelanjaan kerajaan.
“Prospek yang diberi pelepasan awal dan dipadankan dengan majikan akan menerima sekurang-kurangnya gaji minimum untuk membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat,” tambah beliau. – UTUSAN









