KUALA LUMPUR: Isu pembangunan dan infrastruktur Pasar Datuk Keramat di ibu negara yang tertangguh perlu diberi perhatian kerana keadaan di pasar itu sangat daif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan di situ mengalami masalah selepas diserahkan kepada syarikat swasta.
“Saya tengok (pembangunan) memang bermasalah bila beri kepada syarikat swasta, (tetapi) (mereka) gagal dan DBKL ambil semula. Saya fikir pembangunan itu perlu diberi perhatian kerana kawasan itu sangat daif.
“Saya sudah maklumkan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Tidak boleh tahan, ia sangat daif,” kata beliau selepas solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, Kampung Datuk Keramat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Johari berkata, projek pembangunan pasar tersebut bermasalah selepas dijual kepada pemaju yang telah membayar 10 peratus sebagai deposit.
“DBKL dahulunya telah jual kepada pemaju yang berjanji untuk membangunkan Pasar Datuk Keramat. Jadi apa yang berlaku selepas enam tahun, dia (pemaju) tak buat. Apabila pemaju tak buat, DBKL pun tidak boleh buat apa, nak membaiki pun tidak boleh, serba salah kerana tanah itu telah dibayar 10 peratus tetapi sudah enam tahun tak buat (pembangunan).
“Selepas menjadi wakil rakyat, saya mendesak DBKL untuk tarik semula (perjanjian). Kalau kamu (pemaju) tak mampu nak buat, kenapa kamu masih kekalkan tanah tersebut kepada pemaju?
“Akhirnya saya diberitahu ia telah selesai dan pemaju telah pulangkan semula tanah tersebut dan pulangkan semula bayaran deposit. Sekarang ia bergantung kepada DBKL untuk tambah baik pasar tersebut,” katanya. – UTUSAN










