Pasangan kekasih kemalangan tidak sempat kahwin - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih kemalangan tidak sempat kahwin

JENAZAH Nurshabirah Izzani Zulkarnain dibawa keluar dari bilik Forensik HSNZ, Kuala Terengganu, petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasangan kekasih yang maut dalam nahas empat kenderaan di Jalan Kemajuan, di sini, malam tadi, merancang untuk berkahwin hujung tahun ini.

Namun perancangan itu tidak kesampaian setelah Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24, dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, terbunuh dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam itu.

Zulkurnain Abdullah, 57, berkata, anak perempuannya, Nurshabirah Izzani dan Muhammad Haniff Idham sudah berkawan sejak di bangku sekolah dan akan berkahwin Disember ini.

Malah menurutnya, keluarga mereka sudah membuat persiapan awal perkahwinan, selain merancang untuk mengadakan majlis itu serentak dengan dua lagi anaknya iaitu abang dan kakak Nurshabirah Izzani.

“Saya mendapat berita kejadian tu agak lewat sekitar pukul 1 pagi sebelum dihubungi salah seorang anak lelaki yang memberitahu Nurshabirah Izzani terlibat dalam kemalangan.

“Saya dan isteri, Hazlinda Razak, 48, bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tetapi saya tidak sampai hati memberitahu isteri keadaan anak dan bakal menantu sehingga kami tiba di hospital.

“Walaupun sedih rancangan mereka ke jinjang pelamin tidak kesampaian, kami reda dengan kejadian menimpa dan harus bersabar dengan kejadian ini,” katanya di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Haniff Idham dan Nurshabirah Izzani meninggal dunia ketika diberi rawatan di Wad Kecemasan HSNZ akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Kemalangan berlaku setelah Perodua Myvi dinaiki mereka dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Toyota Fortuner sebelum kedua-dua kenderaan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Susulan itu sebuah Range Rover dari arah Gong Badak menuju pusat bandar gagal mengelak lalu merempuh sisi kanan kereta mangsa menyebabkan Muhammad Haniff Idham tercampak keluar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN