KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan menangguh dan merujuk Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)(Pindaan) 2024 ke dua Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diperhalusi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau memohon menangguhkan bacaan RUU itu di bawah Peraturan Mesyuarat 62, bagi membolehkannya diperhalusi walaupun ia sepatutnya diputuskan hari ini.
“Bagi maksud hendak hasilkan RUU yang terbaik, hasilnya terbaik, maka saya bercadang, saya mohon berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62, saya berhasrat menangguhkan bacaan seterusnya dan Kementerian Dalam Negeri akan mendapatkan pandangan selanjutnya daripada JPK Kesihatan dan JKP Keselamatan.
“Kita akan jemput semua pihak berkepentingan, ahli Parlimen, pakar perundangan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), selepas kita selesai perhalusi kemudian baru kita buat keputusan peringkat majlis,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU bacaan kali kedua hari ini.
Ini adalah RUU kedua yang dibentang Saifuddin tahun ini yang ditangguhkan.
RUU lain ialah pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan yang sepatutnya dibahas dalam sidang parlimen kali ini. – UTUSAN










