PAC: HRD Corp diberi tempoh tiga bulan

PAC: HRD Corp diberi tempoh tiga bulan

DATUK Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Parlimen di sini hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) selepas tiga bulan dari tempoh pembentangan laporannya pada 11 Julai lalu.  

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan memanggil semula dari tempoh selepas itu bagi tujuan penelitian laporan tindakan susulan terbabit.

“Sebab kita baharu bentangkan pada minggu lepas, jadi kita akan tunggu selama tiga bulan dan panggil mereka buat laporan tindakan susulan terhadap syor dikemukakan oleh PAC,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Menurut PAC, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran kumpulan wang.

PAC juga mahu Kementerian Sumber Manusia membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September depan.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati turut berkata, PAC akan melaksanakan prosiding bagi empat isu dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 bermula bulan ini hingga 1 Ogos depan.

Jelasnya, ia membabitkan prosiding Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 29 Julai ini.

Beliau berkata, bagi prosiding Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula, ia diadakan pada 30 Julai ini.

“Prosiding MARA Incorporated Sdn. Bhd. di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 31 Julai dan prosiding Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), 1 Ogos ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN