KUALA LUMPUR: Isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery belum tersenarai dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) setakat ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan keperluan menjalankan prosiding berhubung kerugian dialami negara selepas KWAP dikatakan menjadi mangsa penipuan eFishery.
Beliau berkata, perbincangan akan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Perkara itu tidak ada dalam prosiding PAC. Namun, nanti kita akan bincang sama ada PAC perlu atau tidak masuk dalam perkara ini.
“Buat masa ini, sudah ada prosiding yang sedang menunggu untuk kami selesaikan. Mungkin perkara itu (pelaburan eFishery) kita bincang dan putuskan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
KWAP menjadi mangsa eFishery selepas syarikat itu didakwa memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery dibuat menerusi proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat yang tersedia, termasuk pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Beliau berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP turut melaksanakan proses usaha wajar (due diligence) bebas bagi memastikan semua maklumat berkaitan lengkap dan sahih sebelum keputusan pelaburan dibuat.
Menurut beliau, pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
“Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










