KUALA SELANGOR: Nor Azizah Ahmad kekal dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, semalam, walaupun pemilihannya pada tahun lalu dipertikaikan sehingga menyebabkan berlaku pembatalan dan pemilihan semula.
Beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Habibah Mohd. Yusof dengan majoriti 127 undi. Nor Azizah memperoleh 272 undi menewaskan Habibah yang mendapat 145 undi pada pemilihan di Bangunan UMNO Bahagian Kuala Selangor..
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Selangor, Datuk Salamon Selamat.
Menurut Nor Azizah, kemenangan itu diharap dapat memperkukuhkan semula wanita bahagian berkenaan.
“Saya bersyukur akhirnya jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang selesai selepas isu penggantungan sejak lebih setahun lalu. Tekad saya adalah mahu memastikan wanita UMNO bahagian ini terus diperkasa pada masa depan,” katanya.
Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, jawatan itu dimenangi Setiausahanya, Ruzita Rashid yang menewaskan Ketua Wanita Cawangan Berjuntai Bestari, Yusriza Marina Yeop dengan majoriti 185 undi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan UMNO Selangor mengambil alih proses pemilihan semula Wanita bahagian itu yang digantung sejak Mei tahun lalu.
Pada pemilihan 11 Mac sebelum itu, Nor Azizah memperoleh 285 undi menewaskan Habibah yang mendapat 152 undi dengan majoriti 133 undi.
Namun, Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menghantar surat bahawa mesyuarat perwakilan sayap itu tidak sah kerana ketidakaturan mesyuarat. – UTUSAN










