KUALA TERENGGANU: Bot nelayan asing dari Vietnam, Thailand dan Indonesia semakin bermaharajalela apabila dikesan menceroboh perairan negara sehingga kawasan pelantar minyak dan kawasan pulau mempunyai terumbu karang yang menjadi habitat ikan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pencerobohan nelayan asing itu di perairan Pantai Timur berleluasa apabila sumber perikanan di Teluk Siam, Thailand di Laut China Selatan telah kehabisan sumber laut akibat eksploitasi yang berlebihan sebelum ini.
Akibat pencerobohan itu juga, katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seramai 918 kru dan 104 bot nelayan asing kerana melakukan kesalahan menangkap hasil laut di perairan Pantai Timur sejak tahun 2022 hingga 31 Mei 2024 lalu.
“Mengikut pecahan jumlah kru nelayan asing yang ditahan dalam tempoh tersebut ialah 436 (Terengganu), 429 (Kelantan) dan 53 (Pahang) manakala jumlah bot pula 45 (Terengganu), 53 (Kelantan) dan enam (Pahang).
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bot nelayan asing itu dalam tempoh tersebut pula dianggarkan RM150.5 juta,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pencerobohan nelayan asing mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian sehingga RM823.88 juta selepas hasil laut negara dicuri oleh golongan terbabit sepanjang tahun 2020 hingga 2023.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain dilaporkan berkata, jumlah itu merangkumi 428 kes pencerobohan kapal nelayan asing yang dikesan menjarah hasil laut di perairan negara sepanjang tahun 2020 sehingga 2023.
Selain itu, Saiful Lizan memberitahu, antara tindakan yang diambil APMM untuk membanteras pencerobohan nelayan asing itu adalah melalui operasi bersepadu dikenali Op Naga Barat melibatkan pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan.
Menurutnya, selain itu, operasi berjadual seperti Op Damai di perairan Kelantan, Op Iman (Terengganu) dan Op Makmur (Pahang) juga ditingkatkan.
“Antara modus operasi nelayan asing itu seperti bermain ‘hide & seek’ yang bertindak lari di sempadan apabila mengesan kehadiran kapal Maritim Malaysia menjadikan usaha menangkap mereka menjadi lebih sukar, ditambah lagi dengan penggunaan radar dan radio yang berkualiti tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, lebih membimbangkan, nelayan asing Vietnam menggunakan pukat tunda ganding yang boleh mengancam ekosistem perikanan negara.
Katanya, ini kerana pukat tersebut kebiasaannya melibatkan radius satu kilometer serta turut menangkap ikan laut yang belum matang apabila menggunakan mata pukat di bahagian keroncong bersaiz kurang daripada 38 milimeter.
“Bot nelayan asing itu juga boleh berada berbulan-bulan di perairan negara kerana dipercayai mereka membuat transaksi di tengah laut bagi mendapatkan stok bekalan minyak dan makanan daripada kapal induk yang datang mengambil hasil laut dari Thailand atau Vietnam,” katanya. – UTUSAN










