Murid perempuan OKU dirogol jiran - Utusan Malaysia

Murid perempuan OKU dirogol jiran

SEORANG warga emas (kiri) yang dipercayai merogol seorang murid perempuan dibawa keluar di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Nasib malang seorang murid perempuan orang kelainan upaya (OKU) di Hulu Jabor, dekat sini, yang dipercayai dirogol jirannya, terbongkar selepas rahsia itu dirungkai gurunya setelah dia enggan pulang ke kediamannya selepas sesi persekolahan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kanak-kanak berusia 11 tahun yang merupakan OKU lembam itu mendakwa diperkosa lelaki warga emas berusia 63 tahun itu beberapa kali sejak empat bulan lalu.

“Murid tersebut memberitahu gurunya dia takut untuk pulang ke rumahnya di Hulu Jabor, berikutan pernah diperkosa jirannya.

“Guru tersebut kemudiannya memberitahu ibunya yang merupakan warganegara Indonesia mengenai perkara tersebut sebelum wanita itu membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hanyan berkata, susulan itu, polis telah menahan warga emas yang merupakan seorang pekerja ladang kira-kira pukul 5 petang semalam, bagi membantu siasatan.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan dia dibenarkan direman selama enam hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol,” katanya.

Hanyan berkata, kanak-kanak tersebut juga dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan perubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN