BALIK PULAU : Kejadian kelar yang melibatkan pasangan guru di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini dianggap mengejutkan bagi penduduk yang tinggal di situ kerana pasangan terbabit dilihat sering mengadakan jamuan makan bersama sanak saudara mereka sebelum ini.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, apabila melihat halaman rumah pasangan terbabit dipenuhi dengan motosikal pagi ini, dia menganggap mereka sekali lagi mengadakan jamuan seperti selalu.
“Pada awalnya, saya sangka mereka hanya buat makan-makan seperti biasa kerana keluarga itu memang kerap mengajak adik-beradik mereka datang ke rumah. Tapi, saya terkejut apabila melihat kereta polis juga ada di situ.
“Sebenarnya, kami sudah jarang nampak pasangan suami isteri itu sejak kebelakangan ini. Dulu, mereka ada juga membawa anak kecil mereka bersiar-siar di kawasan perumahan waktu petang. Tetapi, sekarang sudah jarang nampak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, guru wanita terbabit cedera di leher selepas dipercayai dikelar oleh suaminya yang juga seorang guru dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.
Selain menindih dan mengelar mangsa, suspek yang berusia 30 tahun itu turut mencederakan dirinya sendiri dengan mengelar leher serta pergelangan tangan menggunakan pisau sama.-UTUSAN










