Muhyiddin, PN sudah-sudahlah bermain politik 

Muhyiddin, PN sudah-sudahlah bermain politik 

SUHAILI Abdul Rahman (tengah) bersama empat bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kerajaan merayu kepada semua pemimpin tertinggi pembangkang Perikatan Nasional (PN) supaya berhenti bermain politik. 

Rayuan itu disuarakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman selepas PN dalam sidang akhbar semalam meneruskan usaha melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti akibat peralihan sokongan mereka.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pula dalam sesalinan suratnya kepada Bersatu memutuskan enam bekas ahli parti itu termasuk Suhaili kekal sebagai wakil rakyat dan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen.

Suhaili menegaskan, keenam-enam mereka berpegang teguh dan yakin tidak melanggar peraturan di bawah Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.  

Katanya, kesemua mereka akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas Johari memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

“Kami merayu kepada semua pemimpin tertinggi terutama PN supaya berhenti dan sudah-sudahlah bermain politik. 

“Marilah bersama-sama berganding bahu menstabilkan politik di Malaysia dan pulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi global. 

“Kami hanya menyokong Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat yang mengundi kami di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini hari ini. 

Selain Suhaili, empat lagi ahli Parlimen berada dalam sidang akhbar tersebut ialah  Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir.  

Dalam sesalinan surat yang disemak Utusan Malaysia, Johari mendapati arahan-arahan di bawah Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dan menafikan hak lima bekas ahli parti itu yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Selain itu, hak kelima-lima ahli Parlimen berkenaan juga terjamin di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Sesalinan surat itu dihantar Johari kepada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bertarikh 9 Julai 2024, yang mewajarkan alasan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sidang akhbar di Parlimen semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mengambil langkah susulan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan Johari amat mengecewakan kerana jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN