IPOH : Selama ini Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd. Yusri Che Lah tidak pernah menyentuh tentang persembahan pemainnya dalam sesuatu perlawanan.
Bagaimanapun semalam, Yusri tidak dapat menahan perasaannya selepas mereka kecundang 0-2 kepada Penang FC di gelanggang sendiri dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak.
“Selama ini saya sentiasa pertahankan pemain tetapi malam ini saya sungguh kecewa. Kesabaran seseorang ada hadnya.
“Mereka bermain seperti tiada keinginan dan tiada keyakinan diri, mereka macam tidak mahu menang.
“Saya tidak tahu kenapa tetapi macam ada protes,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.
Yusri berkata, anak buahnya seperti tiada keyakinan diri dan tidak beraksi dengan baik.
Menurutnya, pemain tidak berani memegang bola serta tidak tahu bagaimana hendak bertindak.
“Daripada enam perlawanan setakat ini, ini persembahan terburuk kami, ” katanya.
Berbanding perwatakan mantap ketika pra-musim, pemain Perak nyata bagaikan memberi harapan palsu apabila gagal beraksi cemerlang.
“Aksi mantap semasa perlawanan persahabatan memberi keyakinan bahawa pasukan ini mampu mencapai sesuatu.
“Penyokong juga sudah mulai yakin tetapi ia nyata hanya harapan palsu,” katanya.
Sementara itu jurulatih Penang FC, Akmalrizal Rakhli memuji persembahan anak buahnya yang menunjuk kesungguhan tinggi untuk mengutip mata penuh.
“Mereka bermain dengan keinginan tinggi untuk mengecap kemenangan ini, Alhamdulillah impian itu terlaksana.
“Pujian harus diberikan kepada setiap pemain selepas kami kecewa dalam lima perlawanan terdahulu, ” ujarnya.
Pada perlawanan semalam, Penang FC mendahului menerusi jaringan Neto Oliveria pada minit ke-46 sebelum Muhammad Alif Ikmarizal Anuar menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan babak kedua. – UTUSAN










