Mengaku salah miliki 564 gajet bacaan al-Quran tanpa kelulusan KDN

Mengaku salah miliki 564 gajet bacaan al-Quran tanpa kelulusan KDN

SEORANG pengurus syarikat (duduk, kiri) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret George Town kerana memiliki pelbagai alat elektronik bacaan al-Quran tanpa kelulusan daripada KDN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pengurus syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki 564 unit alat elektronik bacaan ayat al-Quran bernilai hampir RM11,711 tanpa kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) beberapa bulan lalu.

Tertuduh, Peter Ch’Ng Kian Poh, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebanyak 13 unit Ebook-ku, 492 unit Elektree Zikir & Ruqyah dan 59 unit clock Quran Speaker yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di bawah KDN.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis di Jalan Selatan, Jelutong, kira-kira pukul 1.45 tengah hari, 26 Mac lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Mahadzir Saad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Mima Falaq Mohd. Firdaus.

Terdahulu, semasa prosiding berlangsung, Mahadzir memohon agar hukuman denda yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh serta peniaga-peniaga lain sebagai pengajaran agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesucian al-Quran selain mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Mima bagaimanapun merayu agar dikenakan denda minimum memandangkan tertuduh masih bujang dan perlu menjaga kedua ibu-bapanya.

Siti Nur Suhaila kemudiannya mengarahkan agar tertuduh membayar denda sebanyak RM10,000 dan perlu menjalani hukuman penjara selama 12 bulan andai gagal berbuat demikian. Difahamkan, tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN