GEORGE TOWN : Seorang pendawai elektrik mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya dengan menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di sebuah kebun durian di Paya Terubong, minggu lepas.
Tertuduh, Chan Kin Yean, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Chan Kim Seong, 65, dengan menggunakan parang sepanjang 48 sentimeter (cm) yang jika digunakan sebagai senjata berkemungkinan mendatangkan kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok kebun di Lot 71, Mukim 14, Jalan Paya Terubong kira-kira pukul 3.30 petang pada 21 Jun lalu.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. Hukuman penjara juga boleh ditingkatkan sehingga dua kali ganda mengikut peruntukan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 serta mengenakan syarat tambahan iaitu tidak membenarkan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi kes.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cheah Eng Soon yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum diberikan dengan alasan anak guamnya masih bujang dan bekerja sebagai pendawai elektrik dengan gaji yang rendah.
Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin selain memerintahkan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai. Sebutan semula kes kemudian ditetapkan pada 17 Ogos depan.
Dalam kejadian pada 21 Jun lalu, mangsa mengalami cedera parah selepas dipercayai ditetak sebanyak tiga kali oleh suspek susulan satu pertengkaran sebelum suspek berjaya ditahan polis tidak lama selepas itu ketika sedang bersembunyi di belakang sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.-UTUSAN










