KLANG: Tentera Laut Amerika Syarikat komited terus mengukuhkan hubungan ketenteraan dan keselamatan maritim dengan Malaysia yang merupakan rakan strategik negara itu di rantau ini terjalin lebih 65 tahun.
Pegawai Pemerintah Armada Ketujuhnya, Kapten Nicholas C. Deleo berkata, kerjasama menerusi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kekal kukuh sejak 1957 menjadi peluang bagi perkongsian maklumat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Menerusi lawatan selama beberapa hari ini, perbincangan antaranya melibatkan soal ketenteraan, membanteras aktiviti keganasan dan keselamatan maritim.
“Kerjasama berterusan ini amat penting dan signifikan bagi kedua-dua negara dalam memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik sedia ada,” katanya pada sesi lawatan Kapal Armada Ketujuh USS Blue Ridge (LCC 19) bersama pengamal media di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT), pagi tadi.
Terdahulu, kapal induk yang dikemudi Komandernya, Timbalan Admiral Fred Kacher berlabuh di dermaga berkenaan, kira-kira pukul 9.30 pagi dan disambut Inspektor Jeneral TLDM, Laksamana Muda Abdullah Sani Ismail bersama sepasukan pegawai dan anggota.
Tambah Deleo, kapal yang dikendalikan seramai lebih 1,000 kru termasuk pegawai armada itu kali terakhir berlabuh di Malaysia pada 2019.
“Kami gembira perjalanan merentasi Selat Melaka berjalan lancar selepas turut melawat negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Filipina sebelum ini.
“Saya teruja kerana kali pertama ke Malaysia dan kami mahu mempelajari kebudayaan serta sejarah tempatan menerusi pelbagai program yang dirangka sepanjang lawatan ini,” ujarnya.
Sebagai peneraju armada ketujuh, USS Blue Ridge merupakan kapal operasi kedua tertua dalam Tentera Laut AS dan beroperasi rutin dengan sekutu dan rakan kongsi dalam memelihara wilayah Indo Pasifik.
Ditugaskan pada 1970, kapal itu berperanan menyediakan sokongan perintah, kawalan, komunikasi, komputer dan risikan kepada komander dan kakitangan armada tersebut
Kapal yang ditempatkan di Armada Tentera Laut AS, Yokosuka, Jepun itu merupakan kapal tentera laut ketiga yang dinamakan sempena Pergunungan Blue Ridge, rangkaian gunung di pergunungan Appalachian di timur AS. – UTUSAN










