Malakat Mall tutup: Gagal raih sokongan umat Islam sendiri

Malakat Mall tutup: Gagal raih sokongan umat Islam sendiri

Mohd Fadzil Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penutupan gedung beli-belah Malakat Mall pada akhir bulan ini memang perit untuk diterima tetapi ia bukan pengakhiran dan wajar dijadikan iktibar kepada umat Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian pandangan spontan seorang Exco kerajaan Selangor, Borhan Aman Shah dan turut meluahkan dukacita dengan berita buruk tersebut.

“Secara peribadi, saya amat sedih apabila dengar laporan ini namun tetap optimis bahawa penutupan tidak diduga itu masih ada hikmah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, beliau yang juga wakil rakyat Tanjong Sepat hadir menyaksikan penyampaian zakat korporat Permodalan Negeri Selangor Berhad kepada 168 penerima di kawasan itu.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim pada Khamis lalu menerusi satu kenyataan mengumumkan penutupan kompleks perniagaan di Cyberjaya itu bermula 1 Ogos depan.

Justeru, premis berkenaan mengadakan jualan penutupan besar-besaran dengan diskaun hebat termasuk harga serendah RM1 yang bermula 20 Julai lalu hingga hujung bulan ini.

Mengulas lanjut, Borhan berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh Malakat Mall dengan imej mesra Muslim memang ‘cantik’ tetapi masih perlu banyak penambahbaikan.

“Sewajarnya ia jadi pengajaran kepada umat Islam sendiri agar kena ada jiwa kukuh bantu usahawan Muslim sebagai tuntutan fardu kifayah dalam isu perniagaan kecil,” tambahnya.

Beliau memberikan contoh mengenai banyak produk keluaran Muslim yang diletakkan di rak belakang atau tersorok di pasar raya besar tertentu menyebabkan kurang hasil jualan.

Kewujudan Malakat Mall ujarnya, memberikan alternatif kepada pengusaha bumiputera Islam untuk memasarkan barangan namun gagal meraih sokongan umat Islam sendiri.

Pada masa sama, Borhan tidak menolak kemungkinan lokasi kompleks beli-belah itu yang tidak strategik dan kekurangan publisiti turut menjadi faktor tidak ramai pengunjung hadir.

Selain itu ujarnya, gedung tersebut sepatutnya menerima bantuan dari pelbagai agensi kerajaan termasuk penyediaan kemudahan awam yang memudahkan akses masyarakat.

“Saya berharap Malakat Mall akan bangkit semula dengan dibina di tempat lain yang lebih baik dengan model perniagaan bersifat inklusif dan mampu menarik komuniti,” jelasnya.

Premis tiga tingkat itu dibuka pada 13 Mac 2020 lalu dengan kerjasama daripada Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia menerusi sumbangan dana kira-kira RM100 juta.

Walau bagaimanapun, ramai pihak mengkritik imej kompleks itu yang amat ketara dengan wajah Islam dan dianggap kononnya kurang mesra kepada masyarakat bukan Muslim.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN