TITIK gerak terbesar dalam filem Tamil yang hangat diperkatakan ini adalah tentang hilangnya ‘Lakshmi’, sebuah tong sampah logam cukup penting sehingga membuatkan Maharaja cemas.
Lakshmi mungkin sekadar tempat letak sampah yang ditendang-tendang di rumah orang kebanyakan, tapi bagi Maharaja, ia adalah penyelamat yang melindungi anaknya, Jothi, daripada maut akibat insiden beberapa tahun lalu.
Jothi mendapat undangan kem di luar daerah meninggalkan Maharaja sendirian di rumah. Sepanjang berjauhan, Jothi meminta Maharaja memberikan gambar Lakshmi dan memandikannya.
Maharaja hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk mencari Lakshmi sebelum anaknya pulang. Maka bermulalah pengembaraan Maharaja untuk meyakinkan polis bahawa pentingnya mencari tong sampah logam yang hitam itu.

Ketika menulis ulasan ini, saya masih lagi takjub memikirkan betapa menarik dan cermatnya Nithilan Swaminathan menuliskan filem Maharaja.
Teknik jungkir balik digunakan dalam filem ini hampir sempurna. Pembuka filem pun sudah sangat kemas dan menangkap menunjukkan sebuah insiden penuh tragis menyebabkan isteri kesayangannya terbunuh dalam malapetaka berkenaan.
Maharaja difokuskan sebagai bapa kebanyakan masyarakat di India, dia berkumis, badan berisi dan jarang senyum sejak isterinya tiada. Satu-satunya perkara yang membuat dia berasa hidup hanyalah anaknya, Jothi.
PLOT MENGEJUTKAN
Setelah beberapa jam kita dibawa mengembara pencarian Lakshmi, Nithilan ibarat mempermainkan fokus dan tujuan kita. Bagaimana sebenarnya jika bukan Lakshmi yang hilang?
Kejutan plotnya sangat mengejutkan dan cukup untuk membuat kita ternganga. Maka terjawablah segala persoalan mengapa ada ular tedung yang tiba-tiba muncul di beberapa adegan.
Dalam masyarakat Hindu, tedung bukan hanya bermaksud kekuasan, tetapi juga sebuah ilusi dan misteri membuatkan kita berasa ‘oh patutlah’ ketika menonton beberapa babak.
Sejak awal filem ini memfokuskan Lakshmi di permulaan filem, sebuah logam yang tertulis ‘use me’ di badannya.
Lakshmi selain dewi kesuburan dan kecantikan, dalam Hindu juga bermaksud simbol cinta dan kasih sayang.

Saya berpendapat ketika Lakshmi hilang, pengarah ingin menunjukkan inilah yang terjadi dalam sebuah masyarakat yang sudah hilang rasa cinta dan kasih sesama kita.
Betapa bogel, hodohnya dan tertekannya semua yang ditampilkan dalam filem ini dari polis yang salah guna kuasa, penjahat kaki rogol, sistem patriarki yang celaka dan orang berbunuh demi duit.
Satu-satunya yang indah dan tumbuh di antara kekejaman itu adalah cinta yang kuat seorang ayah kepada anak perempuan.
Kerana cinta dan tidak sanggup melihat anaknya terluka, dendam boleh menyalakan api dan membakar setiap yang berani menyentuh puterinya. Maharaja sejak awal berikrar untuk menjadi api-api itu.










