GERIK: Seorang lelaki maut selepas jengkaut yang dikendalikannya terbalik dekat lereng bukit di kawasan perlombongan biji timah di Klian Intan, Pengkalan Hulu di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Lum Kok Hon berusia 56 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu diatur gerak ke lokasi selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 11.53 pagi.
Katanya, operasi menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan gergaji dan pemotong hidraulik.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN











