Aman22 bawa unit komersial eksklusif di Sungai Petani

Aman22 bawa unit komersial eksklusif di Sungai Petani

AMAN22 menawarkan kedai dua tingkat dengan harga antara RM781,850 hingga RM1.83 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSK Property memperluas komponen pembangunan komersial di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah menerusi Aman22 yang membabitkan 22 unit pejabat kedai dua tingkat dengan harga antara RM781,850 hingga RM1.83 juta. 

Projek pegangan bebas yang terletak di OSK Taman Lang Aman itu menawarkan keluasan binaan antara 2,400 kaki persegi hingga 5,095 kaki persegi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah OSK Property, Chu Wai Lune berkata, Aman22 dibangunkan sebagai komponen komersial yang melengkapkan kawasan kediaman OSK Taman Lang Aman dengan ruang perniagaan yang menyasarkan keperluan penduduk serta komuniti di sekitar Bandar Amanjaya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Aman22 terletak di sepanjang jalan utama kawasan perbandaran, pembangunan itu mempunyai akses melalui Jalan Lencongan Timur serta hubungan ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Sungai Petani Utara. 

“Lokasinya turut menghubungkan kawasan berkenaan dengan Pulau Pinang, Alor Setar dan Kulim, sekali gus memberikan akses kepada pasaran tempatan dan kawasan sekitar. 

“Ruang komersial Aman22 boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti perniagaan termasuk makanan dan minuman, peruncitan, pejabat profesional, klinik, pusat pendidikan, penyedia perkhidmatan dan perniagaan berkaitan gaya hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, pembangunan komersial perlu berkembang seiring dengan pertumbuhan komuniti kediaman bagi memenuhi keperluan harian penduduk. 

“Apabila komuniti kediaman berkembang, ekosistem komersial yang menyokongnya juga perlu berkembang seiring.  

“Aman22 bertujuan menyediakan ruang untuk perniagaan memenuhi keperluan harian penduduk, selain menyumbang kepada pembentukan kawasan kejiranan yang lebih lengkap. 

“Kedudukan Aman22 dalam kawasan Bandar Amanjaya yang telah dibangunkan turut memberikan akses kepada kawasan tadahan yang merangkumi komuniti kediaman serta pelbagai kemudahan pendidikan, kesihatan dan institusi kerajaan. 

“Antara institusi pendidikan berhampiran ialah Regent International School, Kolej Vokasional Sungai Petani 2, SMK Bandar Baru Sungai Lalang dan SJK(C) Poi Chee serta disokong kemudahan kesihatan termasuk Pantai Hospital Sungai Petani, Hospital Sultan Abdul Halim dan Klinik Kesihatan Sungai Lalang,” katanya. 

Sementara itu, Wai Lune berkata, institusi kerajaan dan kemudahan awam berhampiran termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya serta Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret Sungai Petani. 

“Kewujudan kawasan tadahan yang terdiri daripada penduduk, pelajar, tenaga pengajar serta pengguna kemudahan awam dan institusi dapat menyokong aktiviti komersial di kawasan berkenaan. 

“Pembangunan komersial berfungsi lebih baik apabila disokong kawasan tadahan yang kukuh. Aman22 bukan sahaja mendapat manfaat daripada penduduk OSK Taman Lang Aman, tetapi juga komuniti Bandar Amanjaya yang lebih luas,” katanya. 

Aman22 merupakan sebahagian daripada pengembangan jangka panjang OSK Property di Sungai Petani yang turut merangkumi pembangunan OSK Taman Lang Aman, Bandar Puteri Jaya dan OSK Yarra Park. 

Di Bandar Puteri Jaya dan OSK Yarra Park, OSK Property telah membangunkan lebih 12,000 unit kediaman yang membentuk komuniti dianggarkan seramai 60,000 penduduk. 

Kedua-dua kawasan perbandaran itu turut disokong lebih 300 unit komersial yang sedang beroperasi, menunjukkan pertumbuhan komponen perniagaan seiring dengan perkembangan kawasan kediaman. 

Menerusi Aman22, OSK Property meneruskan pembangunan komersial eksklusif di OSK Taman Lang Aman dengan menyediakan ruang bagi perniagaan, perkhidmatan dan kemudahan harian yang boleh menyokong perkembangan komuniti setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN