PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan sekolah kekal sebagai lokasi selamat berikutan insiden terbaru membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kelmarin.
Kejadian itu berlaku kurang dua minggu selepas kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril, murid Tingkatan Dua di SMK Za’ba, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sukan negeri itu pada 25 September lalu.
Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di dalam kawasan sekolah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66, selepas dimaklumkan mengenai kehilangan cucunya itu.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun itu.
Beliau berkata, jika siasatan mendapati wujud unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kematian Irene Sofiya menimbulkan persoalan dan kebimbangan ibu bapa berhubung tahap keselamatan murid di sekolah.
Difahamkan, dua rakan mangsa terlebih dahulu datang ke rumah neneknya sekitar pukul 5.30 petang selepas menyedari motosikal milik mangsa masih berada di sekolah, namun gagal menemuinya.
Mangsa dipercayai tinggal bersama neneknya di daerah berkenaan, manakala kedua-dua ibu bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Ekoran itu, polis menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 16 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mustaqim Sukarno bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memberi jaminan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kejadian dan akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap aspek di bawah tanggungjawab kementerian.
Katanya, beliau telah menerima taklimat daripada polis, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah berhubung kronologi kejadian serta tindakan yang sedang diambil.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut,” katanya selepas melawat keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini semalam.
Fadhlina berkata, sekiranya terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
Beliau pada masa sama menegaskan KPM tidak akan mendahului siasatan polis, sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, sekolah mesti kekal sebagai tempat selamat untuk semua pelajar.
Katanya, sebarang ancaman terhadap keselamatan warga pendidikan tidak boleh dikompromi, namun punca dan unsur sebenar kejadian perlu ditentukan berdasarkan siasatan, bukan spekulasi.
“Tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
“Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan siasatan pihak berkuasa dan bukan melalui spekulasi,” katanya.
Beliau berkata, JPNJ dan PPD Batu Pahat diarahkan memberi sokongan penuh kepada polis sepanjang siasatan, selain memastikan aspek keselamatan dan kebajikan murid terus diberi perhatian. – UTUSAN











