TAIPING: Kekurangan peruntukan tidak boleh dijadikan alasan untuk negeri tidak menghantar atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang berlangsung pada Ogos depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, apatah lagi pihaknya sudah meminta semua menteri besar dan ketua menteri memastikan kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi membantu atlet negeri masing-masing.
“Saya kira bukannya banyak peruntukan yang diperlukan untuk menghantar kontijen negeri ke Sarawak.
“Ini adalah perbelanjaan yang wajar oleh negeri masing-masing,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran Orang Besar Jajahan (OBJ) Larut Matang Selama (LMS) bersama bekas-bekas atlet di sini semalam.
Turut hadir OBJ LMS, Datuk Seri Wan Mohd. Isa Datuk Wan Mohd. Razali.
Menurutnya, tidak ada sebab yang kukuh mengapa negeri tidak ada dana untuk menghantar atlet negeri ke Sukma di Sarawak.
“Itu bukan alasan kukuh yang boleh diberikan kerana penganjuran Sukma bukan kita beri notis satu bulan, mereka sudah tahu daripada tahun lepas lagi,” katanya.
Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengharap Sarawak menanggung sedikit kos untuk negeri itu menghantar kontijen ke Sukma, Hannah berkata, Sarawak sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan sebagai tuan rumah Sukma 2024.
“Saya kira adil kerana sebelum ini atlet Sabah dan Sarawak datang ke Semenanjung, mereka juga membayar kos yang tinggi, jadi kita kena ambil giliran seperti ini,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi meminta Sarawak menanggung sedikit kos bagi menghantar kontinjen negeri itu ke Sarawak, susulan kos tinggi yang terpaksa ditanggung termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan. – UTUSAN










