Campur tangan kerajaan dalam FAM cetus risiko sekatan antarabangsa

Campur tangan kerajaan dalam FAM cetus risiko sekatan antarabangsa

MOHAMMED TAUFIQ JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang campur tangan kerajaan secara langsung dalam urusan pentadbiran, disiplin atau teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko sekatan antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, FAM merupakan badan sukan kebangsaan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan ditadbir secara autonomi selaras dengan Piagam Olimpik serta peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Peranan menteri di bawah Akta 576 adalah menentukan dasar dan hala tuju pembangunan sukan negara.

“Daripada sudut pelaksanaan dan penyelarasan, tindakan Kementerian Belia dan Sukan dilaksanakan melalui Pesuruhjaya Sukan (PJS) selaku pentadbir Akta dan kuasa arahan Menteri kepada PJS tidak merangkumi arahan langsung kepada FAM,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkaitan pembangunan bola sepak negara.

Dr Mohammed Taufiq berkata, dalam aspek tadbir urus dan integriti, kerajaan menegaskan amalan yang telus dan profesional merupakan asas pembangunan sukan yang mampan.

Katanya, KBS melalui PJS melaksanakan program pengukuhan tadbir urus termasuk advokasi, latihan pengurusan organisasi badan sukan serta sesi libat urus.

“KBS turut melaksanakan inisiatif seperti Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta Program Advokasi Governans dan Integriti dengan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

“Berhubung peruntukan, Majlis Sukan Negara (MSN) memantau laporan yang dikemukakan oleh FAM dan penyaluran dana awam adalah tertakluk kepada pemantauan serta keperluan pelaporan.

“Selari dengan komitmen kerajaan terhadap akauntabiliti, tahun ini buat pertama kalinya pengauditan pengurusan dana atau geran di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sedang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara melibatkan badan sukan kebangsaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN