PETALING JAYA: Kempen `kurang gula kurang harga’ patut menjadi amalan seluruh rakyat bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan pengambilan gula berlebihan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.
“Program ini untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Program ini juga dapat mengurangkan kos rawatan dan perubatan susulan penyakit yang berpunca daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang terutama kandungan gula berlebihan,”katanya dalam satu kenyataan
Menurut beliau, kempen tersebut turut melibatkan restoran dan wakil industri seperti Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).
Terdahulu, statistik diterbitkan pada tahun 2021 menunjukkan, rakyat Malaysia mengambil 26 sudu teh gula sehari iaitu 80 peratus lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mencadangkan individu dewasa hanya mengambil enam sudu teh gula sehari. – UTUSAN











