PONTIAN: Kebimbangan penduduk Kampung Kemang, Batu 36 dekat sini tentang kesucian Tanah Perkuburan Islam yang tidak berpagar akhirnya mendapati perhatian seorang kontraktor.
Menurut seorang penduduk, Ghazali Baharum, 64, kontraktor tersebut bermurah hati untuk membina pagar dan membaiki longkang di sekeliling tanah perkuburan berkenaan bagi menghalang daripada dicerobohi oleh anjing liar.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihaknya yang sudi untuk membantu kami kerana bagi menjaga kesucian tanah perkuburan yang telah berusia 60 tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan rayuan penduduk supaya dibina pagar bagi mengelakkan diceroboh anjing dan warga asing yang menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat pembuangan sisa binaan kerana tidak berpagar.
Ghazali berkata, ekoran pendedahan oleh Utusan Malaysia, Pejabat Agama Daerah Pontian dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama-sama penduduk kampung telah mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan berkenaan, baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri Kadi Daerah Pontian, Adam Ibrahim; Amil Baitulmal MAINJ Cawangan Pontian, Aishah Abu Bakar dan Pengerusi Khairat Kematian Kampung Duku, Mahmood Ibrahim.
“MAINJ juga telah memasang papan tanda dilarang menceroboh di kawasan tanah perkuburan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mahmood menyambut baik kesediaan penyumbang untuk membina pagar di tanah perkuburan bagi kawasan tersebut terus diceroboh oleh anjing dan golongan tidak bertanggungjawab demi memelihara kesucian dan keselamatannya. –UTUSAN










