Kontraktor resah harga simen naik

Kontraktor resah harga simen naik

Kenaikan harga simen membimbangkan kontraktor yang mungkin menaikkan upah pembinaan bagi menampung kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Golongan kontraktor khususnya G1 resah dan semakin terbeban apabila harga simen yang menjadi bahan asas binaan naik daripada RM22 kepada RM24 setiap beg 50 kilogram.

Difahamkan, harga simen mula naik selepas kerajaan menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter selaras pelaksanaan penyelarasan subsidi bahan api itu bermula 10 Jun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, apabila situasi itu berlaku, secara automatik bahan lain yang menggunakan simen seperti longkang, bumbung dan simen siap bancuh turut naik harga.

Beliau berkata, sebagai produk kawalan, kenaikan itu tidak patut berlaku tanpa justifikasi munasabah, mengambil kira simen sebagai bahan asas utama sektor pembinaan dan impak buruk kenaikannya terhadap industri pembinaan.

“Dalam hal ini, golongan kontraktor G1 antara kumpulan yang paling terkesan akibat situasi peningkatan harga barangan tersebut.

“Kos pembinaan pasti akan meningkat dan dikhuatiri beberapa projek juga bakal lewat siap sekali gus menyebabkan kontraktor mengalami kerugian besar.

“Kita sangat berharap kerajaan memantau perkara ini kerana apa dinyatakan sebelum ini, penyelarasan diesel tidak akan mempengaruhi harga bahan-bahan binaan, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Norhamila berkata, selain pemantauan berterusan, kerajaan juga perlu menetapkan harga siling bahan binaan asas itu bagi membantu kontraktor kecil yang terbeban dengan kenaikan harga tinggi.

“Berbeza dengan kontraktor besar yang mungkin mampu membeli banyak, sekali gus dapat menikmati harga istimewa, kontraktor kecil hanya membeli barang diperlukan apabila ada projek dan biasanya diperoleh dalam kuantiti sedikit.

“Kami terpaksa membeli pada harga pasaran dan bukan pada harga istimewa. Jadi, kami berharap ada pihak mengambil berat perkara ini dan cuba membantu mengatasi kenaikan harga bahan binaan yang tidak selesai sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga bahan asas binaan khususnya simen yang tidak stabil ketika ini begitu membebankan kontraktor kecil tidak seperti ‘jerung besar’ yang terus menerima manfaat daripada kerajaan.

Selain itu katanya, akibat pelarasan diesel, harga premix, batu baur atau crusher run juga naik harga kerana menggunakan lori.

“Premix misalnya daripada RM193 naik kepada RM230, kontraktor G1 begitu terbeban dengan kenaikan mendadak bahan binaan ketika ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN