KANGAR: Kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian menang-menang berhubung desakan kontraktor di Perlis agar projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diserahkan semula kepada kerajaan negeri dan bukan melalui syarikat konsesi.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kedua-dua pihak sama ada kontraktor mahu pun syarikat konsesi sememangnya boleh mendapatkan hak masing-masing dan kerajaan negeri juga melihat perkara itu dalam pelbagai sudut serta keadaan.
Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu secara menyeluruh dalam mencari solusi terbaik berhubung permasalahan tersebut.
“Macam mana pun, saya difahamkan bahawa projek ini telah berjalan sebelum kehadiran saya sebagai Menteri Besar lagi dan perjanjian ini juga ditandatangani oleh kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar terdahulu, Mohd. Shukri Ramli.
“Jadi macam mana pun, kita akan usaha melihat semula dan bantu membela nasib kontraktor ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Terdahulu, Abu Bakar menerima memorandum daripada kumpulan kontraktor yang menggesa agar projek-projek MARRIS diserahkan semula kepada kerajaan negeri.
Abu Bakar berkata, desakan pihak terlibat adalah merupakan tindakan yang dilakukan bagi memperjuangkan hak mereka sebagai kontraktor.
“Jadi sebagai kerajaan negeri, kita menghargai dan cuba membantu sekadar termampu dalam mencapai situasi menang-menang,” katanya. – UTUSAN










