SHAH ALAM: Selebriti, Cliff Umar menyifatkan hukuman oleh Mahkamah Majistret yang diterimanya akibat memiliki dan mengambil dadah sebagai pengajaran terhadap kesalahannya sendiri.
Malah, juara program realiti TV, Gegar Vaganza Musim Ke-7 (GV7) itu mengakui kesilapannya sendiri dan menyatakan ia dilakukan atas kerelaannya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu.
Penyanyi rock dengan nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, berkata, segala yang berlaku adalah kesilapannya tanpa dipengaruhi mana-mana individu sehingga terjerumus dalam penglibatan dadah.
“Ini salah saya. Tiada orang boleh suruh kita paksa start dan stop (pasal dadah). Kita sendiri yang nak.
“Saya akui kekhilafan saya dan semua ini adalah pengalaman bagi saya ketika ditangkap, dituduh dan dijatuhi hukuman. Ini satu pengajaran kepada saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun beliau bersyukur apabila menerima sokongan daripada keluarga terutama isterinya sepanjang prosiding berkaitan kesalahan tersebut dan mahu menjadikan peluang itu untuk berubah dan bertaubat.
Terdahulu, Cliff Umar tunduk selepas Majistret Sasha Diana Sabtu menetapkan denda RM5,500 kepadanya atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Cliff Umar memaklumkan beliau sedang dalam proses menyiapkan rakaman di Jakarta dan Bali, Indonesia.
“Dua tempat itu mengizinkan saya fokus kepada pembuatan karya. Lagu yang dihasilkan dalam album nanti adalah campur. Ada bahasa Melayu dan Inggeris. Sasaran saya adalah mahu tembusi peringkat antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN










