KUALA LUMPUR : Semua ketua jabatan dan penyelia polis tidak terlepas daripada diambil tindakan sekiranya dikesan menyembunyikan salah laku anggota bawah seliaan mereka.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad menegaskan, ini selaras dengan arahan Arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menerusi pekeliling pada 5 Julai lalu.
Pekeliling itu mewajibkan ketua jabatan atau pegawai bertanggungjawab menjalankan kawalan dan pengawasan tatakelakuan serta terhadap pegawai seliaan.
Kata beliau, arahan itu jelas selari dengan gesaan Ketua Polis Negara yang mahu tindakan diambil secara penguatkuasaan penuh berhubung salah laku warga polis.
“Arahan ini jelas. Kita (JIPS) ambil maklum mengenai perkara itu. Dalam siasatan JIPS, jika terkesan tindakan akan diambil.
“Ketua jabatan jangan simpan benda-benda ini bawah ‘karpet’. Baru kita dapat lakukan perubahan seperti yang dikehendaki masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Satu Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung semua ketua jabatan perkhidmatan awam termasuk ketua pengarah boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja jika tidak mengambil tindakan kepada kepada pegawai di bawah seliaan yang telah melakukan salah laku dalam jabatan masing-masing.
Azri berkata, kewajaran tindakan yang diambil terhadap ketua jabatan dan penyelia itu bergantung sejauh mana penglibatan mereka.
“Kita perlu lihat sejauh mana penglibatan dia, sejauh mana mereka tahu mengenai isu yang diperkatakan mengenai anggota bawahan mereka.
“Jika ada isu-isu jenayah tetapi mereka tidak laporkan, itu memang patut diambil tindakan. Ketua jabatan ini penting, kalau dia buat tidak tahu sahaja, yang bawah akan ikut,” jelasnya. – UTUSAN











