Keropok beracun: Jenazah Akil Syauqi selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Keropok beracun: Jenazah Akil Syauqi selamat dikebumikan

NURAIN Hasnorizal menyiram air mawar di pusara anaknya, Muhammad Akil Syauqi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, yang maut akibat termakan keropok dicampur racun tikus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini pukul 9.45 malam tadi.

Perjalanan akhir kanak-kanak itu disaksikan kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat.

Turut mengiringi jenazah ialah ibu arwah, Nurain Hasnorizal, 25.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Surau Lebai Ahmad yang terletak bersebelahan tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu, jenazah Muhammad Akil Syauqi tiba di rumah datuk dan neneknya di kampung tersebut dari Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 6 petang tadi.

Sementara itu, datuk arwah, Hasnorizal Ab. Wahab, 46, ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila urusan pengebumian cucunya berjalan lancar.

“Syukur Alhamdulillah urusan pengebumian selesai, saya reda,” katanya ringkas.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Sementara adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih kritikal dan sedang dirawat di hospital sama.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, dua beradik itu kritikal selepas termakan makanan ringan dicampur racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim dekat sini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN