KOTA BHARU: Ketua balai polis berpangkat sarjan mejar yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing sudah digantung kerja.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pasukan.
Katanya, tindakan itu dilakukan secara bersama dengan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Proses ini merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan yang dijalankan pihak kami (polis).
“Tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas semuanya selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang bermula hari ini terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu ditahan pada pukul 2.20 petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).-UTUSAN










