Lebih 400 dron Ukraine sasar Moscow - Utusan Malaysia

Lebih 400 dron Ukraine sasar Moscow

PENDUDUK berjalan melepasi kepulan asap akibat kebakaran di kompleks logistik syarikat e-dagang Russia, Wildberries di bandar Elektrostal di pinggir Moscow.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Lebih 400 dron menyasarkan wilayah Moscow malam semalam tetapi kebanyakannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara Russia dengan dua orang dilaporkan cedera.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kyiv meningkatkan serangan ke atas wilayah Russia sebagai tindak balas terhadap lebih empat tahun pengeboman yang dilakukan Moscow di Ukraine.

“Dari pukul 8.30 malam hingga 5 pagi (waktu tempatan), lebih 400 dron musuh dikesan menuju ke wilayah Moscow. 

“Kebanyakannya berjaya di­pintas oleh sistem pertahanan udara di kawasan jauh dari ibu negara. Sebanyak 85 dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dimusnahkan ketika menghampiri Moscow,” kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menerusi platform MAX yang disokong kerajaan.

Gabenor Moscow, Andrey Vorobyov berkata, kerosakan dilaporkan berlaku di Podolsk, Domodedovo dan Odintsovo dengan beberapa rumah persendirian serta kemudahan awam turut terkena serangan.

“Menurut maklumat awal, seorang cedera di Domodedovo akibat kebakaran di sebuah rumah persendirian, manakala seorang lagi cedera di lebuh raya M-4 selepas sebuah dron terhempas berhampiran sebuah kenderaan,” katanya.

Agensi berita negara Russia, TASS turut melaporkan enam individu, termasuk tiga warga asing dimasukkan ke hospital di wilayah Moscow akibat kece­deraan berpunca daripada letupan.

“Enam mangsa yang me­ngalami kecederaan letupan de­ngan tahap kecederaan berbeza dihantar ke Hospital Domode­dovo, termasuk tiga warga asing,” menurut kenyataan hospital yang dipetik TASS.

Bagaimanapun, punca sebenar kecederaan itu masih belum dipastikan sama ada berkaitan dengan serangan dron.

Domodedovo terletak di selatan Moscow dan menempatkan sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Pada Ahad, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Russia melancarkan antara serangan peluru berpandu ba­listik terbesar ke atas Kyiv pada malam sebelumnya, mengorbankan seorang mang­sa dan mencederakan 16 yang lain. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN