Kerajaan kawal selia platform media sosial, pesanan internet

Kerajaan kawal selia platform media sosial, pesanan internet

media sosial
Semua GLC di negara ini disaran menyokong media tempatan berbanding platform media sosial antara bangsa. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua platform media sosial dan perkhid­matan pesanan internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Syarat tersebut dilaksanakan menerusi satu kerangka kawal selia baharu bagi memastikan penggunaan internet yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Pelaksanaan tersebut di­perkenal pada 1 Ogos ini sebelum dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhid­matan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang di negara ini.

Kata MCMC, inisiatif tersebut adalah untuk memerangi peningkatan kes-kes jenayah siber seperti penipuan dalam talian, buli siber dan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak.

“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

“Sebelum ini, platform-platform tersebut dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pe­lesenan) (Pengecualian) 2000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa semua plat­form media sosial harus mematuhi undang-undang negara terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan ber­kata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang di­pe­ngerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri juga mahu isu jenayah dalam media sosial dita­ngani segera termasuk memantapkan aspek siasatan dan pendakwaan.

MCMC berharap langkah tersebut dapat mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman le­bih baik untuk para pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan tetapi tidak memberi apa-apa perubahan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN