Kematian akibat peperangan di Gaza mencecah 186,000?

Kematian akibat peperangan di Gaza mencecah 186,000?

Penduduk Palestin melihat runtuhan rumah dan khemah akibat serangan tentera Israel di khemah pelarian al-Mawasi berdekatan Khan Yunis, Gaza yang mengorbankan 71 orang semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kumulatif kematian rakyat Palestin akibat perang di Gaza ketika ini dijangka mencecah 186,000 orang akibat pelbagai faktor terutamanya apabila hak memperoleh sumber makanan dan air bersih serta rawatan kesihatan dinafikan sejak 7 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh jurnal The Lancet, kematian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza Ketika ini sudah melebihi 38,000 orang.

Bagaimanapun, jumlah dikeluarkan itu tidak merangkumi angka sebenar mangsa hilang atau terkorban di bawah runtuhan bangunan dan kematian secara tidak langsung akibat keruntuhan sektor kesihatan, ketiadaan makanan dan minuman mencukupi dan lain-lain isu yang timbul disebabkan perang di wilayah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, jumlah kematian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza hanyalah membabitkan mangsa yang terkorban dalam serangan kejam rejim Zionis.

Bagaimanapun, beliau berkata, angka itu tidak mencerminkan jumlah sebenar kematian di wilayah tersebut kerana dianggarkan ribuan lagi mangsa meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan dan masih tidak dapat dikeluarkan.

“Bukan itu sahaja, banyak juga kematian dilaporkan disebabkan ketiadaan bekalan makanan dan air bersih contohnya kematian akibat kebuluran, dahaga melampau, kurang nutrisi khususnya membabitkan kanak-kanak dan beberapa lagi isu lain.

“Selain itu, banyak juga kematian dicatatkan kerana keruntuhan sektor kesihatan di wilayah itu akibat sakit kronik, penyakit berjangkit, ketiadaan rawatan susulan akibat kecederaan dan sebagainya.

“Jadi tidak mustahil jika angka sebenar kematian akibat perang sejak 7 Oktober tahun lalu adalah lebih besar daripada yang dilaporkan ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut kajian itu lagi, konflik akibat peperangan turut membawa implikasi secara tidak langsung yang lebih buruk daripada kekejaman walaupun gencatan senjata dilaksanakan segera.

Ia disebabkan implikasi secara tidak langsung hanya akan dilihat pada bulan atau tahun mendatang melalui isu-isu kesihatan seperti penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit dan sebagainya.

“Dalam konflik sebelum ini, kematian akibat implikasi secara tidak langsung adalah antara tiga hingga 15 daripada jumlah sebenar kematian langsung.

“Menggunakan anggaran kasar empat kematian akibat implikasi secara tidak langsung atas setiap kematian langsung, tak mustahil jumlah sebenar mangsa terkorban mencapai 186,000 orang,” kata kajian tersebut.

Oleh demikian, gencatan senjata segera sangat-sangat penting bagi membolehkan segala bantuan seperti perubatan, makanan, air bersih dan keperluan hidup dapat disalurkan ke Gaza secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN