JOHOR BAHRU: Lahir dalam keadaan serba kekurangan tanpa kedua-dua belah tangan dan kudung kaki kanan bukan penghalang bagi How Xue Qi, 18, sentiasa kekal positif dalam menjalani kehidupan harian bergelar pelajar.
Dia yang menerima Anugerah Inspirasi sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mengakui enggan terlalu sedih dengan nasibnya.
Sebaliknya anak sulung daripada empat beradik ini lebih gemar menumpukan kepada pelajaran dan minat seninya.
“Saya amat gembira mendapat anugerah ini. Pada SPM lalu, saya lulus semua subjek dan mendapat A bagi subjek Pendidikan Seni Visual. Saya memang minat subjek seni dan sejak kecil sudah melukis dan mewarna gunakan kaki kiri.
“Saya juga masih simpan beberapa hasil lukisan semasa kecil. Saya bercita-cita menjadi seorang pereka dalaman pada masa depan,” kata pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini.
Xue Qi amat berterima kasih atas sokongan ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya yang sentiasa memberi galakan agar meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Selain guru dan rakan-rakan, kembar saya, How Xue Thing, 18, juga banyak membantu proses pembelajaran sepanjang di sekolah. Dia juga banyak membantu saya mengangkat beg sekolah,” katanya.
Dalam majlis itu, seramai 60 pelajar yang cemerlang dalam SPM 2023 menerima anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.
Seorang lagi penerima anugerah kecemerlangan Orang Asli, Anna Maria Ahmad, 18, pula bercita-cita menjadi peguam suatu hari nanti.
“Saya mahu menjadi seorang peguam setelah melihat isu pertikaian melibatkan kawasan penempatannya di Kampung Orang Asli Kuala Masai,” jelas Anna Maria. – UTUSAN










