KUALA KANGSAR: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disarankan bertanding mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti Bersatu, Oktober ini.
Saranan itu dibuat Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga bekas setiausaha politik kepada Ahmad Faizal atau Peja.
“Itu terpulanglah kepada dia. Dia nak bertanding ke (atau) dia tak bertanding. Sebagai kawan saya rasa Datuk Seri Peja ini political animal, suruh dia lawan sahajalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis penyampaian komputer riba kepada 25 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Parlimen Kuala Kangsar di sini hari ini.
Peja sebelum ini dilaporkan bakal berundur sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan diberikan jawatan Naib Presiden menerusi persetujuan bersama oleh parti tersebut.
Diumumkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal menggantikan Peja sebagai Timbalan Presiden. Namun selang beberapa hari, Naib Presiden parti, Datuk Seri Ronald Kiandee dilaporkan berkata jawatan itu masih terbuka untuk dipertandingkan.
Iskandar Dzulkarnain dilihat sebagai orang kuat Peja sewaktu menjadi Menteri Besar Perak susulan prestasi cemerlang Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018 semasa menjadi komponen Pakatan Harapan.
Peja bagaimanapun tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022 apabila gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Tambun setelah kecundang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun kedudukan Iskandar Dzulkarnain dalam politik tergantung selepas keahliannya dalam Bersatu terhenti susulan sokongannya kepada Anwar.
Ditanya lagi mengenai perkembangan Peja, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata beliau sudah lama tak berhubung dengan bekas bosnya itu.
“Dia punya keputusan ke ataupun Presiden punya keputusan, saya pun tak tahu. Saya tak dapat hubungi lagi Datuk Seri Peja,” katanya mengulas keputusan Peja berundur sebagai Timbalan Presiden Bersatu.-UTUSAN










