KLANG: Sebanyak 87 buah skuter elektrik atau e-bike bernilai RM174,700 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua operasi berasingan di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, pada 28 Jun dan 3 Julai lalu.
Dalam operasi pertama, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat dan menemukan lapan unit e-bike bernilai RM5,250 pada 28 Jun lalu.
Di Pelabuhan Utara pula, sebanyak 79 unit e-bike dengan nilai keseluruhan RM169,450 ditemukan ketika pemeriksaan dibuat ke atas sebuah kontena pada 3 Julai lalu. Kesemua e-bike tersebut dipercayai tidak mempunyai permit import.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua skuter berkenaan adalah barangan larangan import yang mana hanya dibenarkan dengan permit dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Di Pelabuhan Barat, skuter dibawa masuk secara haram dan disorok di sebalik barang dagangan seperti meja, kabinet, peralatan dapur serta dagangan lain. Di Pelabuhan Utara pula, kesemua 79 e-bike itu disorok disebalik dagangan barangan alat ganti kenderaan, pakaian dan aksesori perkakasan serta dagangan lain.
“Kesemuanya tidak diikrar dalam Borang Kastam No. 1 bagi mengelak dikesan oleh JKDM. Jumlah cukai bagi kesemua e-bike tersebut bernilai RM51,200,” katanya dalam sidang akhbar dekat Wisma Kastam Pelabuhan Utara, hari ini.
Tambahnya, di Pelabuhan Barat, Kastam turut merampas 375 liter minuman keras bernilai RM4,477.50 dengan nilai cukai sebanyak RM50,895.50 yang disorok bersekali dengan e-bike berkenaan dan tidak diikrar dalam borang sama.
Malah, jelas Norlela, Kastam turut mengesan alamat syarikat dinyatakan dalam Borang Kastam No.1 merupakan sebuah restoran makanan laut yang sudah lama tidak beroperasi berdasarkan semakan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan di kawasan premis tersebut.
“Kesemua kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi, penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama orang ramai bagi membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM berhampiran di seluruh negara. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN










