Jual murah motosikal curi di media sosial 

Jual murah motosikal curi di media sosial 

Raub Selamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Curi motosikal dan menjualnya di media sosial dengan harga murah.

Tindakan dua pemuda itu bagaimanapun berjaya digagalkan polis, selepas kedua-duanya ditahan dalam serbuan di Larkin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas mangsa berusia 35 tahun membuat laporan polis pada pukul 11.56 pagi mengadu motosikalnya yang diletakkan di sebuah bangunan di bandar raya ini hilang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS membuat serbuan di tiga lokasi berasingan iaitu di Larkin, Johor Bahru dan Pekan Nanas, Pontian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Raub, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun dan turut merampas kunci motosikal, sekeping salinan sijil pemilikan palsu kenderaan dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang.

“Modus operandi yang digunakan suspek ialah membuat salinan sijil milikan kenderaan iaitu geran palsu menggunakan aplikasi dan menyunting nama pemilik asal kepada nama suspek selepas berjaya mencuri motosikal,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kemudian memuat naik iklan penjualan motosikal dalam laman sosial untuk dijual pada harga sekitar RM1,400 hingga RM1,500.

“Tangkapan itu berjaya menyelesaikan tiga lagi kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini. Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau manakala suspek kedua tiada rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes  di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×