GUA MUSANG: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengerahkan seluruh jentera parti itu untuk berkampung bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jentera parti itu akan digerakkan bersama-sama dengan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang lain termasuk BN.
“Untuk menang, PH dan BN perlu bekerja sebagai satu pasukan dan pelancaran hari ini memberi isyarat komitmen Amanah dalam membantu kemenangan parti Kerajaan Perpaduan.
“Dalam pilihan raya kalah dan menang kadang kala bersilih ganti, namun dengan semangat yang ditunjuk kita boleh capai kemenangan,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jentera Amanah PRK Nenggiri di Pejabat Parti Amanah Negara kawasan Gua Musang di Bandar Utama, di sini hari ini.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan pada Khamis. – UTUSAN










