IPOH: Satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri Perak untuk mengatasi masalah kekeringan Tasik Bukit Merah dekat sini berikutan cuaca panas.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa itu akan turut dianggotai oleh jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pengairan dan Saliran.
Katanya jawatankuasa akan menilai penyelesaian jangka pendek memandangkan tasik tersebut menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping.
“Kita mengambil kira pandangan daripada semua pihak, kerana ia melibatkan teknikal. Ada pendapat yang tak bersesuaian dari segi teknikal,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keluhan masyarakat setempat termasuk ada yang mempersoalkan mengapa cadangan untuk mengorek dasar tasik yang dipenuhi lumpur tidak dibuat.
Tasik Bukit Merah adalah tasik buatan manusia pertama di Malaysia berusia lebih 100 tahun dan sering berdepan musibah cuaca kering sehingga menjejaskan paras air.
Saarani berkata, penyelesaian daripada jawatankuasa itu bersifat jangka pendek memandangkan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dilaksanakan bagi membekalkan keperluan air di utara Perak dan Pulau Pinang.
Kerajaan Pusat sebelum ini bersetuju menyalurkan dana RM4 bilion bagi pelaksanaan projek air yang disalurkan dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
Sementara itu Menteri Besar juga mendedahkan banyak syarikat menyatakan minat dalam permohonan untuk memproses unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di mukim Kenering, Hulu Perak.
Tambahnya, kerajaan negeri sendiri akan menunggu ketetapan dasar daripada kerajaan Pusat berhubung perkara tersebut.
“Banyak syarikat memohon. Tapi kena ada ketetapan tentang kaedah dan syarat-syarat kelayakan bagi sesebuah syarikat untuk melombong. Kita kena pastikan pematuhan prosedur operasi standard dan ada kepakaran daripada aspek perlombongan,” katanya. – UTUSAN










