TAIPING: Akar umbi UMNO diingatkan tidak bergaduh berebut menjadi calon pilihan raya bagi mengelakkan parti itu terus mengalami kekalahan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, masih berlaku perbalahan dalam soal tersebut meskipun pencapaian UMNO dalam pilihan raya merosot.
“Jangan bergaduh…bila bergaduh, maka akhirnya akan pergi ke Pusat untuk buat keputusan (menentukan calon). Bila Pusat buat keputusan, kemungkinan besar tersilap pilih.
“Kalau kita di bawah ini bergasak, macam mana masyarakat hendak menyokong kita. Kita nampak makin lama perebutan itu berlaku walaupun UMNO telah kalah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini, hari ini.
Malah katanya, keadaan itu turut menyebabkan situasi UMNO seakan takut untuk mengumumkan calon lebih awal dan atas kelewatan itu menyebabkan calon yang dipilih gagal menyaingi lawan.
Baginya, setiap bahagian UMNO perlu mengenal pasti mereka yang layak terutama golongan muda untuk diangkat sebagai pemimpin serta calon pilihan raya yang berkaliber, mengetahui isu semasa serta rajin berjumpa masyarakat.
Semasa berucap, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa mengingatkan lebih 500 perwakilan yang hadir tentang kepentingan bahagian itu sendiri memilih calon berbanding menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan.
Parlimen Bukit Gantang menjadi perhatian kerana kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) disebabkan status Ahli Parlimennya, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berikutan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
UMNO Bukit Gantang dilaporkan membuat ketetapan untuk bertanding jika berlaku PRK di Parlimen itu termasuk sudah mempunyai calon tersendiri.
Ditanya pemberita mengenai tentang penerimaan semula Syed Abu Hussin ke dalam UMNO, Johari berkata, perkara itu perlu melalui prosedur tertentu termasuklah syarat berikrar tidak akan melompat parti. – UTUSAN










