Istiadat Pertabalan sempurna, Sultan Ibrahim ditabal Agong ke-17

Istiadat Pertabalan sempurna, Sultan Ibrahim ditabal Agong ke-17

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri, Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Istana Negara hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Sultan Ibrahim ditabal secara rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, dalam istiadat penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi negara itu bermula pukul 10.45 pagi tadi sebaik Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu, didahului Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran diraja.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.

Istiadat pertabalan disiar secara langsung oleh stesen televisyen negara sekali gus membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu.

Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet selain tetamu-tetamu kehormat.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membaca perisytiharan berkenaan.

Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu ‘Raja Bertabal’, diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara.

Lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Perdana Menteri sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum pegawai agama Istana Negara membacakan doa selamat.

Selesai bacaan doa, naskhah al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 selamat disempurna.

Balairung Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN