Tragedi Jalan Bentong-Karak: Enam sahabat disemadikan - Utusan Malaysia

Tragedi Jalan Bentong-Karak: Enam sahabat disemadikan

AHLI keluarga dan rakan-rakan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang V. Mugilan, 25, di Mentakab Hindu Crematorium sebelum upacara pembakaran mayat dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Enam sahabat yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bentong-Karak, awal pagi semalam, disemadikan dalam suasana pilu apabila ahli keluarga dan rakan-rakan mengiringi perjalanan terakhir mereka di dua lokasi berasingan hari ini.

Tiga mangsa iaitu V. Mugilan, 25, K. Dinesvaran, 21, dan S. K Kiisyen, 16, dibawa ke Mentakab Hindu Crematorium untuk upacara pembakaran mayat, manakala K. Alaganathan, 20, A. Kanabati Raja, 18, dan M. Paranthaman, 15, disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak.

Suasana pilu menyelubungi kedua-dua lokasi apabila ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan tidak dapat menahan sebak ketika memberikan penghormatan terakhir kepada keenam-enam mangsa yang maut dalam nahas membabitkan kereta dinaiki mereka dengan sebuah lori.

Di Mentakab Hindu Crematorium, ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul sejak awal pagi bagi mengiringi mendiang Mugilan sebelum upacara pembakaran mayat dijalankan mengikut adat istiadat agama Hindu.

Sementara itu, ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak, bagi mengiringi pengebumian tiga lagi mangsa.

Tangisan ahli keluarga mengiringi setiap detik penghormatan terakhir sebelum jasad mangsa disemadikan, sekali gus menggambarkan betapa mendalamnya kehilangan yang ditanggung keluarga masing-masing.

Kesemua mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah lori satu tan berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Jalan Karak Lama menghala Temerloh, awal pagi semalam.

Tragedi itu menggemparkan orang ramai apabila enam nyawa melayang dalam nahas sama, lebih-lebih lagi kesemua mangsa berusia antara 15 hingga 25 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN