KUALA LUMPUR: Pembayaran insentif di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP) akan mula dibayar pada Oktober ini setelah majikan yang memohon memenuhi syarat yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak RM50 juta disediakan bagi projek rintis DGP termasuk bayaran insentif kepada 1,000 majikan bagi tempoh setahun.
Beliau berkata, setakat kelmarin, sebanyak 996 majikan telah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah tersebut, 416 majikan iaitu 42 peratus mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP.
Katanya, kerajaan akan terus menilai ketersediaan dasar dan sistem dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan dari semasa ke semasa.
“Pemberian insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya di Dewan Negara, semalam.
Terdahulu, Senator Datuk Husain Awang meminta kementerian menjelaskan status terkini projek rintis DGP melibatkan 1,000 buah syarikat.
Dalam masa sama, Abdul Rahman berkata, berdasarkan garis masa pelaksanaan projek, jawatankuasa kerja masih dalam peringkat penilaian projek dan akan dimuktamadkan pada September 2024 di mana ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Sumber Manusia dan Menteri Ekonomi.
Malah, katanya, masih banyak syarikat boleh mengambil peluang untuk membuka akaun memandangkan peratusan yang berdaftar masih tidak sampai 50 peratus.
“Setakat ini yang tertinggi mendaftar adalah sektor perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal iaitu sebanyak 113 syarikat bersamaan 27 peratus, diikuti aktiviti profesional saintifik dan teknikal sebanyak 22 peratus,’’ katanya. – UTUSAN










