Dasar Gaji Progresif perlu masa

Dasar Gaji Progresif perlu masa

MAJIKAN memerlukan masa untuk mengambil bahagian dalam Dasar Gaji Progresif kerana bimbang kesan kenaikan kos yang boleh membebankan syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan gaji yang tidak diterjemah dalam bentuk peningkatan produkti­viti, sebaliknya dilihat menjadi bebanan kepada syarikat adalah antara alasan syarikat tidak mengambil bahagian dalam Dasar Gaji Progresif (DGP).

Selain itu, sebahagian besar syarikat di negara ini berada dalam kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang masih bergantung kepada bantuan kerajaan seperti subsidi dan insentif kewangan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, situasi itu menjadikan pelaksanaan DGP dan gaji minimum yang dicadang­kan kerajaan berdepan tentangan besar daripada pihak industri.

STRATEGI

“Mereka perlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan kewangan mereka dan mempersiapkan strategi yang tepat sebelum melaksanakan kenaikan gaji. Tanpa bantuan tambahan seperti geran atau pelepasan cukai, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menampung kos tambahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melapor­kan kerajaan tidak akan memaksa mana-mana syarikat yang memilih untuk tidak menyertai DGP berikutan ia bersifat sukarela.

Kerajaan melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk pelaksanaan dasar gaji tersebut yang akan memberikan manfaat kepada 50,000 pekerja.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, terdapat syarikat yang sukar melaksanakan DGP disebabkan model perniagaan atau industri mereka sangat kompetitif.

Katanya, dalam situasi ini, gaji pekerja sering dianggap sebagai kos yang perlu diselaraskan dengan pesaing lain.

MAJORITI

“Jika semua atau majoriti syarikat dalam industri tersebut melakukan gaji progresif secara serentak, pelaksanaannya mungkin lebih mudah.

“Namun, perkara ini bukanlah semudah yang disangka ke­rana persaingan sengit yang berasaskan kawalan kos,” jelasnya.

Tambah beliau, kegagalan mematuhi dasar gaji bukanlah tanda kelemahan, tetapi lebih kepada kebiasaan apabila dasar baru diperkenalkan.

“Penerimaan dan pelaksa­naan dasar bergantung kepada kesesuaian tempoh masa yang diberikan. Syarikat perlu ruang untuk membuat penyesuai­an sewajarnya dan kerajaan perlu memainkan peranan menyokong majikan menyesuaikan diri dengan dasar baharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Selangor, Mohd Azli Md. Yusof berkata, kerajaan perlu mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh dewan-dewan perniagaan dalam membantu ‘menutup jurang’ antara pihak berkepentingan dan memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan le­bih berkesan.

Jelas beliau, memang diakui majoriti syarikat tidak mengambil peluang daripada insentif yang diperkenalkan kerajaan.

“Namun, tidak wajar untuk menyalahkan syarikat semata-mata kerana kajian lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti masalah sebenar dan tindakan perlu diambil oleh semua pemegang taruh untuk menangani isu tersebut dengan lebih baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN