‘Ini bukan cara betul tarik sokongan Cina’

‘Ini bukan cara betul tarik sokongan Cina’

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan cara Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) ingin menarik sokongan pengundi Cina melalui isu derma syarikat arak kepada sekolah  tidak sesuai kerana bertentangan dengan nilai moral.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina, maka ia bukan cara yang betul.

Kata beliau, semua perkara yang membawa kesan negatif dan implikasi buruk tidak wajar disokong oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta agama.

“Sama ada Cina, Melayu dan lain-lain, nilai moral perlu diberi perhatian dan tidak mahu ada kaum tertentu tidak hiraukan nilai moral sebab kita semua rakyat Malaysia.

“Tidak sepatutnya perkara negatif itu cuba dinormalisasi kepada pelajar sekolah, sedangkan syarikat rokok juga tidak dibenarkan memberi sumbangan kepada sekolah.

“Apatah lagi hasil daripada aktiviti yang jelas membawa kemudaratan kepada masyarakat,” katanya seperti menurut portal berita Pas, Harakahdaily.

Terdahulu, media melaporkan, Pas memberi bayangan mungkin tidak dapat bersama Gerakan untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas kecewa dengan pendirian ‘rakan kongsinya’ itu dalam isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shari berkata, pendirian rasmi Gerakan berhubung isu tersebut sangat mengecewakan pihaknya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian sebagai respons kepada Dominic yang mengeluarkan kenyataan syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Dakwanya, ini kerana sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh Kerajaan Pusat untuk beroperasi selama ini.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Dominic seharusnya mendukungi nilai-nilai baik selaku salah seorang presiden kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun mungkin kenyataan itu pandangan peribadi beliau (Dominic), tetapi sebagai presiden parti, ia boleh dianggap pendirian parti itu sendiri. Kita kena sedar isu ini bukan masalah kita (pembangkang).

“Tapi masalah kerajaan. Sepatutnya kerajaan selesaikan dan kita tegas dengan prinsip kita,” kata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN