Hina Raja Perlis: Peniaga ketam dipenjara enam bulan, denda RM15,000

Hina Raja Perlis: Peniaga ketam dipenjara enam bulan, denda RM15,000

TERTUDUH (dua dari kanan) yang didakwa menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di bawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, bagi menghadapi pertuduhan kes tersebut hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang peniaga ketam dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara tambahan dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Musyiri Peet membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, yang disabitkan dengan kesalahan menerbitkan perkataan menghina Tuanku Syed Sirajuddin pada 6 Mac lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Hasbullah didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan akaun Facebook miliknya, ‘Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ku Muhammad)’ bagi membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina Raja Perlis.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Hasbullah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku salah di atas pertuduhan dibacakan tersebut.

Sewaktu rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Che Ahmad mewakili tertuduh, merayu tertuduh dikenakan hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya.

Malah, katanya, tertuduh juga merupakan orang kurang upaya (OKU) dan penghidap penyakit skizofrenia.

Selain itu, tertuduh yang juga peniaga ketam meraih pendapatan tidak menentu di samping mempunyai tiga tanggungan termasuk ibu lumpuh dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Susulan itu, Siti Hajar memohon satu hukuman penjara singkat berikutan pengakuan salah dibuat berkenaan yang telah menjimatkan kos pihak-pihak tanpa melalui proses panjang. 

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali bagaimanapun memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina institusi raja adalah satu kesalahan.

Pihak pendakwaan turut memohon hukuman dijatuhkan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Sewaktu menjatuhkan hukuman, hakim turut memberi nasihat supaya kes tersebut dijadikan pengajaran buat semua pihak di samping mengingatkan bahawa negara ini dinaungi oleh sistem raja berperlembagaan.

Tertuduh turut memohon maaf dan menyatakan tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN