SEREMBAN: Polemik berkaitan isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah vernakular yang menjadi kontroversi perlu dihentikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua pihak perlu patuh kepada penegasan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan mengekalkan garis panduan sedia ada.
“Saya fikir sudah cukup degan penegasan dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Jadi saya ingat kita sudah boleh hentikan polemik ini dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting dan lebih besar,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Berangkat sama, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Zaini Al-Abidin.
Jelas Fadhlina, keputusan mesyuarat Jemaah Menteri itu adalah yang terbaik untuk semua dan beliau berpendirian keputusan itu perlu dikekalkan.
“Saya tidak fikir ada apa-apa lagi lagi isu berbangkit dan saya ingat itulah penegasan yang telah dibuat berulang kali dan kita kekal dengan penegasan itu,” katanya.
Sebelum ini, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran seorang pemimpin politik dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang, Selangor.
Situasi itu membawa kepada percanggahan beberapa pandangan dan pendapat khususnya yang membabitkan pemimpin parti politik, memaksa isu itu kemudian dirujuk dan dibincangkan ke peringkat Kabinet.
Pada 26 Julai lalu, Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah. – UTUSAN










