PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan mana-mana kes yang masih lagi dalam siasatan polis termasuk pembunuhan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang melangkaui polis serta tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan.
“Terdapat pelbagai spekulasi tidak benar telah dikeluarkan sehingga menimbulkan kekeliruan berkaitan kes penemuan mayat seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang Hulu Selangor pada Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, mana-mana individu boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perkongsian atau penyebaran maklumat.
“Ia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui di kawasan ladng kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu. – UTUSAN










