Hanya 4,000 jemaah masih berada di Mekah

Hanya 4,000 jemaah masih berada di Mekah

SYED SALEH (tengah) mengedarkan pek sarapan kepada kumpulan jemaah haji yang menginap Maktab 79 dan 80 di Mekah hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Sejumlah 4,000 jemaah haji Malaysia berpeluang untuk menyaksikan proses unik pertukaran kiswah atau kelambu Kaabah di Masjidil Haram, di sini lewat malam nanti.

Malahan mereka turut dapat merasai pengalaman istimewa meraikan Tahun Baharu Hijrah 1446 di kota tanah suci berkenaan sebelum ziarah ke Madinah atau pulang ke Malaysia.

Bilangan berkenaan dikongsikan sendiri oleh Pengarah Eksekutif Haji yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman di sini hari ini.

“Alhamdulillah ada lagi baki 4,000 jemaah kita masih di Mekah dan wajar disyukuri sebab tidak mudah dipilih jadi tetamu Allah pada tarikh bersejarah ini,” katanya ketika berucap.

Beliau kemudian turut menyantuni kumpulan jemaah Maktab 79 dan 80 di lobi Hotel Land Premium dengan mengagihkan sendiri pek sarapan selain berswafoto dengan mereka.

Sajian pagi terdiri daripada nasi lemak dengan ayam goreng dan air minuman itu hasil kutipan khas Tabung Nikmatul Khair yang melibatkan lebih 600 petugas haji di tanah suci.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, sebahagian jemaah terbabit secara berperingkat akan menuju ke Madinah atau ada terus balik ke Malaysia dalam tempoh masa dua minggu.

“Insya-Allah, saya berharap agar semua jemaah memperoleh haji mabrur dan bagi pihak semua petugas, saya memohon maaf jika ada kekurangan sepanjang operasi,” jelasnya.

Musim haji 1445 Hijrah menyaksikan sejumlah 31,600 jemaah dipilih bagi memenuhi had kuota rasmi Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, sama seperti musim lepas.

Penerbangan pertama ke tanah suci ialah pada 9 Mei lalu dan berakhir kemudian 9 Jun manakala penerbangan awal pulang ke Malaysia ialah 24 Jun dan tamat 21 Julai depan.

Menyentuh mengenai Tabung Nikmatul Khair, Syed Saleh berkata, sejumlah 51,000 riyal (kira-kira RM64,000) berjaya dikumpul para petugas haji yang berkhidmat di tanah suci.

“Alhamdulillah, ini juga sebagai tanda kesyukuran kami yang diberikan peluang datang ke tanah suci untuk menyantuni jemaah dengan berkongsi rezeki secara bersama,” ujarnya.

Inisiatif bantuan kebajikan tersebut tambahnya, yang dimulakan pihak Tabung Haji (TH) pada 2018 disumbangkan balik untuk jemaah kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Sementara itu, beliau turut berkongsi dengan jemaah dua maktab berkenaan mengenai plak Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dimenangi agensi tersebut.

Hadiah berkenaan kata Syed Saleh, baru diterima TH seminggu lalu ekoran pengumuman kejayaan itu ketika Majlis Penutup Musim Haji 1445 di Mina dekat sini pada 18 Jun lalu.

“Kami bersyukur kerana ia pengiktirafan buat tahun ketiga berturut-turut dan ini juga atas kerjasama selain disiplin jemaah Malaysia sepanjang perjalanan Masyair,” terang beliau.

Anugerah itu diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN