GEORGE TOWN : Kerajaan negeri didesak untuk membubar serta menutup Georgetown World Heritage Incorporated
(GTWHI) sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) negeri susulan kontroversi membabitkan video klip penganjuran Festival George Town 2024 yang menyisihkan warisan kebudayaan Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Izhar Shah Arif Shah berkata, permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak penganjur Festival George Town itu tidak memadai untuk menutup ‘luka’ masyarakat Melayu.
“Saya mendesak supaya kerajaan negeri membubarkan sahaja GTWHI dan menutup entiti ini sebagai salah sebuah GLC negeri.
“Ini kerana, bukan sahaja objektif untuk memelihara dan mengangkat nilai keharmonian dan kewujudan bersama antara semua warisan kebudayaan tidak tercapai, malah telah mengguris dan menconteng arang kepada para pelopor dan penggerak warisan kebudayaan Melayu di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, video klip promosi Festival George Town 2024 yang bertemakan ‘Here and Now’ itu tersebar luas dalam media sosial menjelang acara sambutannya yang dijangka pada 19 Julai ini.
Video berkenaan didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta beberapa individu lain khususnya pemimpin Melayu di peringkat negeri.
Mengulas lanjut, kata Izhar Shah, Festival George Town ialah sebuah projek yang dimiliki oleh GTWHI dan syarikat tersebut ialah salah sebuah GLC yang mendapat geran tahunan serta suntikan kewangan daripada kerajaan negeri.
“Dalam hal ini, GTWHI telah menerima geran sebanyak RM3 juta bagi tujuan pengurusan dan aktiviti selain suntikan secara khusus sebanyak RM1 juta untuk penganjuran festival berkenaan daripada kerajaan negeri.
“Jadi, boleh dikatakan RM4 juta ini ialah wang rakyat Pulau Pinang. Maka, kerajaan negeri seharusnya mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap tindakan ‘dangkal’ pihak penganjur yang telah meminggirkan warisan kebudayaan Melayu dalam negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda Pas Permatang Pauh, Aiman Shamsul berkata, kajian oleh Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan bahawa orang Melayu adalah yang pertama membuka penempatan di Pulau Pinang sekaligus menunjukkan bahawa kaum tersebut memiliki peranan penting dalam sejarah awal di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, keengganan untuk mengakui dan merayakan warisan budaya Melayu dan Islam di Pulau Pinang adalah cerminan dari politik sempit yang hanya mementingkan golongan tertentu.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita menuntut keadilan serta pengiktirafan yang sewajarnya bagi sejarah dan budaya kaum Melayu yang telah lama terpinggir di negeri ini,”katanya.-UTUSAN










